Skip to main content
bdcb csb memorandum 1

BRUNEI DARUSSALAM CENTRAL BANK DAN CYBER SECURITY BRUNEI TINGKATKAN KERJASAMA DALAM BIDANG KESELAMATAN SIBER

Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Cyber Security Brunei (CSB) untuk mengesahkan, dan merasmikan, usaha padu dalam bidang keselamatan siber pada hari Khamis, 19 Jamadilawal 1443H bersamaan dengan 23 Disember 2021.

MoU tersebut menzahirkan komitmen, serta merasmikan, kerjasama antara ke dua buah agensi dalam mengendalikan isu-isu berkaitan keselamatan dan jenayah siber, khususnya bagi sektor kewangan Negara Brunei Darussalam, selaras dengan undang-undang, peraturan dan dasar negara yang berkaitan.

Dengan MoU ini, kedua-dua agensi akan menubuhkan mekanisme perkongsian maklumat bagi ancaman serta risiko siber, serta menyelaraskan pertukaran maklumat bagi perisikan jenayah siber dan prosedur pelaporan insiden. Kedua-dua agensi juga bersetuju untuk bekerjasama dalam meningkatkan pendidikan keselamatan siber, pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia, kerjasama teknikal dan inisiatif-inisiatif lain berkaitan keselamatan siber.

Menandatangani MoU tersebut bagi pihak BDCB ialah Dayang Hajah Rokiah binti Haji Badar, Pengarah Urusan, BDCB, manakala CSB diwakili oleh Persuruhjaya Interim, Awang Shamsul Bahri bin Haji Khamis.

Semasa acara tersebut, Dayang Hajah Rokiah menyatakan kepentingan kerjasama dua hala ini untuk memastikan kedayatahanan siber sektor kewangan negara, memandangkan peningkatan dalam penggunaan produk dan perkhidmatan kewangan secara digital, dan serangan siber yang semakin biasa terjadi dan lebih canggih.

Pesuruhjaya Interim, CSB juga mengongsikan sentimen yang sama di mana beliau merakamkan penghargaan atas komitmen BDCB, sebagai bank pusat negara yang merupakan sebuah Infrastruktur Maklumat Kritikal, terhadap keselamatan siber.

Turut hadir di acara yang dijalankan secara maya ini ialah pengurus-pengurus kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), BDCB dan CSB.

bdcb csb memorandum 2

Display page title
On